Beramal dengan Istighfar Rasulullah saw..

Bismillah wal hamdulillah..

Ada seorang lelaki berkata kepda Hasan “Apakah seseorang tidak akan berasa malu terhadap Tuhannya?.... Bukankah dia melakukan perbuatan dosa lalu memohon keampunan kemudian mengulangi perbuatan dosa lalu memohon keampunan dan seterusnya?”…
Hasan menjawab “Syaitan sangat berharap dia berjaya menggoda kamu. Oleh itu jangan kamu meninggalkan istighfar selama2nya…”



ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada ALLAH atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh ALLAH..

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada ALLAH. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada ALLAH ala sambil memohon ampun dari segala dosa. ALLAH memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:
“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, ALLAH berfirman:
“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)

Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah ALLAH pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi saw..


Fadhilat Beristighfar :
Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan ALLAH bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfar.
ALLAH ada menerangkan mengenai dengan fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, ALLAH berfirman:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
(Surah Hud: 3)

..Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,. dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai..(nuh 10-12)

Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfar dan taubat ialah ALLAH akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
ALLAH juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada ALLAH dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran: 135-136)

Menurut Qatadah Rahimahullah:
“Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.

Berkata Sayyidina Ali kwj : “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

Rasulullah saw juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “ALLAH berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika enau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr RadhiALLAHu ‘anhu bahawa Rasulullah Saw bersabda:
Maksudnya: “Bersabda Nabi saw “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat ALLAH kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani RadhiALLAHu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada ALLAH setiap hari sebanyak seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas ra meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi saw: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya ALLAH akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah saw di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari ALLAH atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada ALLAH kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada ALLAH dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari ALLAH daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh ALLAH dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari ALLAH berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

InsyaALLAH..

Ada Cinta di sebalik Bismillah

KALIMAH ‘BISMILLAH’

Diri pernah ditanya, bagaimana cara menterjemahkan rasa kasih dan sayang pada ALLAH..?

...Tabii bagi orang yang bercinta sentiasa mengingati dan menyebut2 kekasih hatinya. Apa sahaja perbuatan yang dilakukan,tercetus dalam hatinya ingatan pada kekasih hatinya.. Jika makan, tercetus dalam hatinya;makan apa si dia hari ini.. Sentiasa terbawa2 ingatan pada kekasih hatinya di mana sahaja dia berada.

Katakanlah: "…Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku..” (Al Imran; 31)

…Kecintaan Rasulullah saw pada ALLAH diterjemah dengan menyertakan ALLAH pada setiap tindakan yang baginda lakukan. Dikatakan bahawa tidak pernah Rasulullah saw memulakan sesuatu pekerjaan dan perbuatan melainkan dimulainya dengan kalimah bismillah.. Itulah salah satu cara baginda menterjemahkan kecintaan baginda pada ALLAH… Ingatan pada ALLAH disertakan pada setiap perkara yang dilakukan oleh baginda. Bahkan diletakkan paling awal dan di hadapan.. ‘dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..’ Bukankah itu tanda kecintaan yang paling besar? ..Sentiasa mengutamakan yang paling Utama dalam setiap tindakan.. Bahagianya hati jika kita diperlakukan begitu. Bahkan ALLAH bertambah-tambah lagi. Kerana ALLAH itu bersifat As-Syukur- Maha Mensyukuri…Syukur ALLAH berbeza dengan syukur makhluk. Lebih besar lagi syukur ALLAH kerana syukur ALLAH bersama dengan rahmat dan belas kasih pada hamba-Nya. Ingatan yang sedikit hamba-Nya sertakan pada-Nya di balas dengan ingatan yang lebih besar.. Bahkan diganda dan dibangga-banggakan lagi ingatan hamba-Nya itu di hadapan para malaikat. Subhanallah.. Itulah ALLAH…

Kalimah bismillah,bukan semata2 nama ALLAH..Namun berserta dengan sifat ALLAH yang sentiasa menyayangi dan mengasihani. Simpati,belas kasih dan rahmat ALLAH akan jatuh pada hambanya setiap kali hambanya menyebut dan mengingatiNya.. Janji ALLAH, bila kita merasa sayang pada ALLAH, bererti ALLAH juga sedang sayang pada kita.. Jika kita merasa cinta pada ALLAH, bermakna cinta ALLAH juga ada pada kita. Jika kita ingat ALLAH, ALLAH juga akan mengingati kita.. jika kita merasa rindu pada ALLAH, ALLAH bertambah-tambah lagi rindu pada kita.. Kita bertawassul dengan keberkatan bismillah untuk mendapat redha,rahmat dan cintaNya..

Jika sebelum ini kita sentiasa membaca bismillah, sama2 kita tingkatkan lagi bacaan bismillah kita dengan ingatan bahasa sayangnya kita pada ALLAH dan sayangnya ALLAH pada kita kerana ALLAH memberi izin,hidayah dan taufiq untuk kita menyebut nama-Nya.. Sayangnya ALLAH pada kita!^_^ Andai belum menjadi kelaziman kita membaca bismillah pada permulan kerja dan tindakan kita, sama2 kita mulakan hari ini membaca bismillah pada setiap pekerjaan kita. Ambil barang, bismillah.. meletakkan barang, bismillah.. Apa sahaja permulaan; dengan kalimah bismillah..

Moga ALLAH berkati kita dengan lafaz bismillah yang kita mulakan.. InyaALLAH sebagai rujukan tambahan, ana kongsikan juga hikmah bacaan bismillah pada semua. Moga bertambah lagi rasa syukur dan gembira kita untuk istiqamah dengan amalan ini. InsyaALLAH..

HIKMAH BISMILLAH…

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz 'BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM' yang bermaksud 'Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..'

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH.. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

2. 'BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. ' (Hadith Qudsi)

3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 ( Al-Muddatsir: 30). Ibnu Mas ' ud berkata: ' Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari.

7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ' Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. '

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

... Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar Rahman)

Kami mohon hidayah dan taufiq dariMU ya ALLAH..Rezekikanlah hati kami dengan kecintaan padaMU dengan berkat bismillah..
Allahumma amiin..

Kasih ALLAH..



Bismillah wal hamdulillah..

Segala pujian itu bagi ALLAH...Selawat dan salam pada junjungan besar, Rasulullah saw kekasih ALLAH..

".... Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar..."(Al Ahzab; 35)

..seharusnya apa yang perlu hamba tuturkan Ya Allah... Melainkan terasa begitu daif dalam mencari cintaMu dan berada di samping para pencintaMU....

Majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah



InsyaALLAH maklumat lanjut:

ummahberselawat.blogspot.com

Taman syurga itu ada di dunia..=)

At-Thabarani dan lain-lain mengketengahkan sebuah Hadith yang bermaksud; “Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri ..”

Di mana DIA di hatiku


Tersentuh dengan bicara ini..

“adakah DIA di hati mu?”,
aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”


Mengapa manusia melakukan kejahatan? Para ulama memberi tiga sebab yang utama – pertama, tidak yakin kepada Allah. Kedua, tidak yakin akan adanya Hari Akhirat dan ketiga, kerana terlalu cinta kepada diri lalu mengambaikan orang lain. Solanya, mengapa orang Islam pun masih melakukan kejahatan?

Ya, kerana kita hanya percaya kepada ketiga-tiga perkara di atas tetapi tidak yakin. Kalau ditanyakan apa bezanya antara percaya dan yakin? Terlalu jauh bezanya. Percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.

Sebab pertama dan kedua dinamakan Iman – yakin kepada Allah dan Hari Akhirat. Kedua sebab itu menumbuhkan sebab yang ketiga yakni ukhwah atau persaudaraan (kasih sayang). Dengan iman kepada Allah, terbentuklah kasih sayang sesama manusia. Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kasih kepada manusia lain? Jawabnya, mudah. Siapa yang paling kasih kepada Allah maka dialah yang paling kasih kepada manusia.

Mengapa begitu? Kerana jika kita ingin mengasihi Allah, Allah letakkan syarat agar kita mengasihi hambaNya. Allah minta manusia yang hendak mengasihiNya menjadi saluran untuk Dia mengasihi hamba-hambaNya yang lain. Kita mesti menjadi saluran Allah untuk menyalurkan ilmu, rezeki, kasih, sayang, keadilanNya kepada manusia.

Jadi, jika kenyataan ini dipandang dari sisi yang lain, kita boleh tegaskan begini: Hanya orang yang hatinya benar-benat yakin kepada Allah sahaja boleh menabur kebaikan dengan seikhlas-ikhlasnya kepada manusia lain. Jika ada manusia yang ingin menaburkan jasa dan kebaikan kepada manusia, tetapi tidak nampak sedikitpun keseriusannya untuk mendekati Allah, maka hubaya-hubaya (berjati-hati), besar kemungkinan dia hanya berpura-pura. Boleh jadi dia memberi untuk mendapat pulangan yang lebih besar lagi!

Betapa ramai manusia yang mendabik dada ingin membuat kebaikan kepada manusia lain tetapi mengabaikan hubungannya dengan Allah. Mungkin sama ramainya dengan manusia yang mendakwa hubungannya sangat akrab dengan Allah tetapi meminggirkan hubungan sesama manusia. Inilah yang telah menimbulkan golongan manusia yang gila kuasa, cinta kedudukan, dan obsesi ekonomi… kononnya untuk meneruskan legasi jasa kepada orang lain.

Jangan kita lupa ‘yakin kepada Allah’ adalah kunci kepada segala kebaikan dan kejujuran. Dan jangan kita lupa pula ‘cinta kepada dunia’ itu kepala kepada segala kejahatan. Jika Allah dipinggirkan dalam diri, keluarga, masyarakat, pertubuhan, negeri atau sesebuah negara, maka jangan sekali-kali kita percaya dakwaan diri itu, keluarga itu, keluarga, pertubuhan, negeri atau negara itu untuk berjasa kepada manusia!

Seruan untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengamalkan syariat dan akhlak Islamiah mesti mendominasi seruan-seruan yang lain. Dasar dakwah Islamiah adalah mengajak orang ramai merdeka daripada penghambaan sesama manusia untuk bebas menghambakan diri kepada Allah. Menyedarkan manusia agar memburu kelapangan Hari Akhirat dengan meninggalkan kesempitan dunia – maksudnya, menggunakan nikmat dunia untuk menadapatkan kenikmatan syurga! Dan akhirnya, meninggalkan kezaliman sistem hidup buatan manusia untuk mendapat naungan keadilan sistem hidup Islam.

Di mana Allah dalam hati, keluarga, masyarakat dan pertubuhan kita? Itulah satu muhasabah untuk difikirkan jika kita benar-benar jujur untuk menabur bakti kepada manusia. Inilah jalan para rasul, nabi, sahabat-sahabat dan umumnya para salafussoleh yang telah banyak menabur bakti kepada manusia lain. Merekalah individu yang rapat dengan ummah untuk mengetahui apa masalah mereka dan akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah-masalah itu!

Marilah kita imbau enekdot-enekdot dalam lipatan sejarah untuk mengetahui betapa roh tauhid itulah yang menjadi obor kepada perjuangan mereka untuk menabur bakti kepada manusia lain… Mereka adalah insan yang berbakti kepada manusia lalu dikurniakan kuasa, bukan menjadikan kuasa sebagai syarat untuk menabur jasa. Allah jualah yang memberi kuasa dan menarik kuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Marilah kita renungi sama-sama renungi apa yang pernah saya tuliskan dalam buku:

DI MANA DIA DI HATIKU?

Semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka… Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.

Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”

Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.

Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.

“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.

“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”

“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.

“Kalau begitu di mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.

Satu ketika yang lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.” Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.

Melihat enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika itu tiada DIA di hati ku!

Sering diri ku berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerananya? Tegakah aku membenci juga kerananya?

Muhasabah ini melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan Allah?”

Dia menangis dan menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada DIA di hatinya…

Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”

Justeru belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang.

Dan akhirnya aku tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan… tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin..

Petikan penulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Teladan Penghulu Wanita Syurga



Sayidatina Fatimah Az Zahra Penghulu Wanita Di syurga

Fatimah az-Zahra Alaiha Salam (ucapan Alaiha Salam sila rujuk misalnya dalam Sahih Bukhari, Juzuk 5, hadith 368, dan 546)adalah puteri kepada Rasulullah saw. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah saw yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah, Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
"Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun." [Muhibuddin al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].

Fatimah AH mempunyai nama-nama timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A'immah dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar' Juzuk 43, hlm.16]
Rasulullah saw menggelarkannya Fatimah AH sebagai "Ummu Abiha" bermaksud ibu kepada ayahnya. Ini kerana Fatimah AH sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]
Sayidatina Fatimah membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, Sayidatina Fatimahlah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, Sayidatina Fatimah juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, Sayidatina Fatimah dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya namun sangat kuat keimanannya pada Allah. Perkahwinan yang dilangsung sangat sederhana namun menjadi sebutan dan bualan penduduk di langit. Bahkan diceritakan bahawa langit bumi turut dihias indah dan semua penduduk di langit mengucapkan kesyukuran dan melafazkan kegembiraan dengan perkahwinan tersebut. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun Sayidatina Fatimah tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah Sayidatina Fatimah sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala Sayidatina Fatimah berlapar sepanjang hari. Sering pula Sayidatina Fatimah berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang Sayidatina Fatimah tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Sayidatina Fatimah berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga Sayidatina Fatimah meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Sayidatina Fatimah tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Sayidatina Fatimah tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan Sayidatina Fatimah tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang sepadan sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak Sayidatina Fatimah mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali Sayidatina Fatimah 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga Sayidatina Fatimah merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Sayidatina Fatimah juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Sayidatina Fatimah Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Sayidatina Fatimah menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa Sayidatina Fatimahlah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Sayidatina Fatimah tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita..

Indahnya Fatimah kerana kemuliaan yang ALLAH berikan padanya..
..Dikatakan sewaktu saidatina fatimah melintasi titian sirat, seluruh penghuni neraka yang berada di bawahnya diperintahkan ALLAH untuk menundukkan pandangan lantaran kemuliaan saidatina fatimah dan ketaatannya dalam menjaga aurat sepanjang hidupnya..

Rasulullah saw juga amat mencintai dan menyayangi puterinya ini. Setiap kali Rasulullah saw balik dari medan peperangan; orang pertama yang akan Rasulullah saw cari adalah sayidatina fatimah. Rasulullah akan bertanya khabar,memeluknya dan mencium pipinya.. Diceritakan bahawa pipi saidatina fatimah ada bauan syurga.Bahkan pernah Rasulullah saw bersabda;." Sayidatina Fatimah adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari kehadirannya.."[Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].

..daku ingin meneladani langkahmu duhai puteri Rasulullah...
..Rabbi Yassir Ya ALLAH…

Allahumma amiin…


Bersangka baik.. =)

Bismillah wal hamdulillah..

Didoakan moga sahabat-sahabat, muslimin muslimat berada dalam lindungan dan rahmat ALLAH swt..

Sekadar coretan dari hati dalam mencari kekuatan..

Benarkah orang yang bersangka baik dan sentiasa meletakkan sangkaan baik mendahului sangkaan buruk adalah orang yang sabar?

..InsyaALLAH..bersangka baik ada kaitannya dengan sabar. Bahkan jika difikir-fikir, dekat sangat.. Bukan mudah untuk bersangka baik kerana ianya melibatkan hati. Perlu mendidik hati. Dan kita tidak akan mampu mendidik hati untuk bersabar melainkkan dengan memandang dengan sangkaan yang baik…

Tertarik dengan kata2 Nabi Yaakob a.s…"Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,.”.(Surah Yusuf;86)

Orang yang sentiasa bersangka baik dengan ALLAH akan sentiasa juga bersangka baik dengan manusia. Dan salah satu sunnah serta adab Rasululullah saw; senyumannya mendahului kemarahannya..=)

Subhanallah wa astaghfirullah…

Hm..adakah kita bersangka baik waktu2 ini?

· …kita menyapa orang yang selalu bersama kita, namun tiba2 satu hari beliau mendiamkan diri dan mengalihkan pandangan mata.Sedihnya..

· ..…makanan yang memang kita lama dah idam-idamkan, dalam kata lain, mengidam. Susah nak dapat ni.. -Bila sudah disedia secara tidak sengaja pula ditumpahkan adik?....

· ….perkara yang kita rancang dan laksanakan, namun bila hampir selesai tiba2 tegendala disebabkan oleh sebab-sebab tertentu?..

· ..tugasan yang kita laksanakan dan perlu hantar telah siap dikemaskini dan disimpan dalam pendrive untuk diprint, namun tiba2 saja pendrive tersebut hilang dan kebetulan tiada pula salinan yang lain.

· ….berulang-ulang kali kita berpesan pada sahabat agar menunggu kita kerana banyak perkara kena selesaikan bersama namun last minit beliau mesej mengatakan bahawa beliau tidak dapat bersama kita…

· …orang kita harap-harap untuk melakukan sesuatu perkara tiba2 bertindak sebaliknya..

· ..sahabat yang paling baik dengan kita,paling memahami dan sentiasa bersama suka dan duka tiba2 sahaja mendiamkan diri dan tidak bertanya pula khabar kita….

· …doa yang dipanjatkan pada ALLAH dengan bersungguh dan sepenuh hati.. namun tidak jua kunjung hasilnya….

· Kita banyak melakukan kebaikan, hubungan dengan ALLAH dan insani juga sangat dijaga,namun seringkali kita diperlaku dan dilayan dengan sebaliknya..

Duhai diri dan sahabat…

Mungkin pernah kita berada dalam situasi ini.. seringkali juga mungkin lintasan pertama yang hadir dalam hati kita bila apabila berada dalam kedaan ini adalah negatif. Sedih… rasa terkilan juga hadir. Kenapa berlaku begini..?..apa salah diriku?..tentunya pelbagai rasa akan hadir. Tidak salah kita sedih.. kerana itulah fitrah insani. Namun bukan berlebihan.. Tidak mengapa jika cepat2 lintasan tesebut kita padamkan dangan dengan sangkaan lebih baik. Kerana itulah sifat seorang mukmin..

“..sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati..(yunus;622)

Orang yang bersangka baik dan kuat persangkaan baiknya adalah orang yang dekat dengan ALLAH dan mengenali ALLAH kerana beliau sentiasa meyakini bahawa setiap apa yang terjadi adalah dari ALLAH..Jiwa hambanya sentiasa mengatakan bahawa ALLAH bersama dengannya.Bukankah ALLAH itu bersifat Ar Rahman (Maha Penyayang) dan Ar Rahim (Maha Pengasihani)?ALLAH kasih akan hamba-nYa melebihi kasih ibu pada anaknya. Jua kerana menyedari dirinya seorang hamba,di sisi ALLAH, beliau menyerahkan diri sepenuhnya pada ALLAH.. jua tidak ‘menuduh’ ALLAH dengan tuduhan yang tidak baik.Baik secara langsung atau tidak langsung..

“….. dan bahwasanya Dialah yang menjadikan seseorang itu tertawa dan menangis..”,(An Najm;43)

…jika kita memohon pada ALLAH namun pinta yang ada belum lagi ditunaikan, bersangka baiklah bahawa belum sampai waktunya lagi ALLAH mengabulkan doa kita. Kerana ALLAH mengetahui apa yang terbaik untuk kita..mungkin saat itu hasrat tersebut tidak begitu baik untuk kita. Mungkin ada perkara yang lebih baik di siSi ALLAH yang ALLAH ketahui untuk kita. Mungkin jua ALLAH sudah memakbulkan doa kita, namun kita yang tidak menyedari kerana ALLAH makbulkan doa kita pada bentuk yang lain..

.. dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.(Al Baqarah;186)

YAKIN dengan ALLAH dan jangan PUTUS ASA dalam berdoa. Kerana kata ibnu ‘ataillah; …doa yang kita panjatkan sebenarnya adalah hidayah daripada ALLAH.. Bukti sifat pengasih ALLAH, ALLAH yang memberi kita petunjuk untuk berdoa dan ALLAH jua yang akan mengabulkan doa tersebut.Dan tanda doa itu akan dimakbulkan ALLAH jika kita khusyuk dan yakin dengan doa tersebut.. Sebagai hamba kita perlu menyedari bahawa kita berdoa bukan untuk memberitahu hajat kita pada ALLAH. Kerana ALLAH telah sedia mengetahui hajat kita.. namun kerana menyedari bahawa kita adalah hambNya yang lemah..

..Jika dalam muamalat insani kita sering dilayan dengan sebaliknya dan kebaikan yang kita beri,harapkan, dibalas dengan sebaliknya, bersangka baiklah bahawa kita mungkin belum lakukan yang terbaik lagi..Letakkan Qudwah dan sunnah Rasulullah saw di hadapan diri. InsyaALLAH ketenangan itu pasti akan hadir..Tidak rugi melakukan kebaikan kerana ianya tetap tercatat dalam catatan amalan.Hasil dan natijahnya pasti akan ada di akhirat kelak..

InsyaALLAH..mafhum ayat Al Quran; bahawa kita semua SEDANG kembali pada ALLAH..Cuma kita tidak mengetahui perpisahan rasmi dengan alam dunia ini bila dan bagaimana.. Selagi ada kesempatan , moga ALLAH sentiasa menganugerahkan taufiq dan hidayahNya untuk kita perbaiki diri dalam menyediakan bekalan untuk dibawa ke sana..

..Kami Amat Memerlukan Belas Kasih,Rahmat Darimu Ya Allah..

Amin Ya Rabbal 'alamin..


Bi idznillah..
Melangkah ke bilik guru,terlihat kata2 ini di meja seorang sahabat..
"..orang yang berilmu itu sentiasa menang dalam pergaulan kerana ia membiasakan dirinya:
  • Caci disambut dengan senyuman
  • Penghinaan ditangkis dengan lemah lembut
  • Kemarahan dibalas dengan diam
  • Kejahatan dibalas dengan kebaikan
Renungan diri pada kata2 ustaz Pahrol (adaptasi);
"...untuk menyelesaikan masalah insani, memerlukan hikmah(ilmu).Dan hikmah itu diperolehi dengan kekuatan hubungan dengan ALLAH.."

Sayangi Rasulullah saw

Ya Rasulullah,kami sayang padamu..
"..sama2 berdoa moga diberi hidayah dan taufiq untuk sentiasa beramal dengan sunnah Rasulullah saw..
Moga dipertemukan kita dengan Rasulullah saw di akhirat nanti..Juga moga Rasulullah saw mengenali kita sebagai salah seorang ummat baginda saw.."

Ya Rasulullah..
Kami berdingkit dalam mengenali dan mencintaimu..
Doakan kami di sini sehingga selamat kami bertemu denganmu..

Membentuk Akhlak Mulia


Bismillah wal hamdulillah..
Didoakan moga sahabat2 berada dalam lindungan dan rahmat ALLAH sentiasa..

Perkongsian mengenai akhlak mulia.Namun sebagai muqaddimah ingin rasanya berkongsi mengenai ketenangan..
Bicara mengenai ketenangan;.... insyaALLAH..Ketenangan dan kebahagiaan itu akan hadir jika kita lebih banyak memberi dengan mengharapkan ganjaran ALLAH. Segalanya bergantung dengan niat..Dan sebagai muslim,antara perjuangan yang paling hebat dalam diri adalah perjuangan dalam meletakkan niat yang baik dalam sesuatu perkara.Kata2 yang ditujukan pada diri ini sendiri sebenarnya.. Terkesan dengan kata2 seorang ustaz, jika kita berjuang dan melakukan suatu kebaikan kerana ingin menolong orang lain, mungkin sampai satu waktu kita akan rasa penat dengan perkara tersebut..Namun jika kita melakukan suatu kebaikan itu dengan niat untuk mendapat redha dan cinta ALLAH,insyaALLAH ALLAH akan memberi furqan,keringanan dan rasa gembira dalam melakukan amalan tersebut..

InsyaALLAH perkongsian akhlak yang mulia. Moga ia bermanfaat bagi kita semua..

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang akhlak yang baik, maka baginda membacakan kepadanya firman Allah.
“jadilah engkau seorang pemaaf, suruhlah orang mengerjakan yang ma’aruf dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil.” (Al-A’raf: 199)
Hadis Hasan riwayat Anas dan ibn mardawaih

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.”

Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a., daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
“Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

Seseorang datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata,
”ya Rasulullah, apa sebenarnya agama itu? Maka baginda menjawab, “akhlak yang baik.” Orang itu mendatangi Rasulullah sebanyk tiga kali dari arah kiri, kanan dan belakang baginda dengan soalan yang sama. Tetapi jawapan Baginda tetap sama. Maka pada pertanyaannya yang terakhir, Baginda menoleh kepadanya dan bersabda. “tidakkah kau mengerti, akhlak itu adalah keupayaanmu untuk tidak marah.”
H.R Muhammad bin Nashr

Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w,
“berilah aku nasihat.” Maka Baginda pun mengatakan, “bertakwalah kepada Allah, di mana pun engkau berada.” Orang itu berkata lagi, “tambahkan untukku.” Sabda Baginda, “iringkanlah perbuatan burukmu (yang telah kau lakukan) dengan suatu perbuatan baik, sehingga (dengan perbuatan itu) engkau dapat menghapuskannya.” Orang itu berkata lagi, “tambahkanlah untukku.” Sabda Baginda , “bergaullah dengan menusia dengan akhlak yang baik.”
H.R Tirdmizi dari Abu Dzarr

Cara menumbuhkan akhlak yang baik

Antara cara menumbuhkan dan menanam akhlak yang baik ialah melalui perjuangan melawan nafsu (mujahadah) dan dengan latihan-latihan rohani (riadhoh). Sebagai contoh, seseorang yang menginginkan supaya dirinya sentiasa memakai jam tangan di tangan kanannya, sedangkan sebelum ini dia memakai jam di tangan kirinya. Untuk kali pertama sudah tertentu dia merasa tidak selesa dan janggal dan kadang-kadang dia tersilap memakainya di tangan kiri. Akan tetapi, apabila kelakuan itu sudah lama diamalkan, memakai jam di tangan kanannya akan menjadi kebiasaan dan apabila dia hendak memakai jam secara langsung dia akan memakainya di tangan kanan. Dalam tempoh untuk membiasakan diri itu, terdapat perjuangan melawan nafsu (mujahadah) dan dengan latihan-latihan rohani (riadhah) sehinggalah tumbuh dan tertanamnya akhlak yang diinginkannya.

Tujuan melatih diri untuk berakhlak ialah untuk mendapatkan nikmat dari perbuatan yang di lakukan. Contohnya, terdapat orang apabila di minta untuk menderma, dia akan rasa kerugian dan tidak mahu mengeluarkan derma, berlaku penolakan dalam hatinya yang akibatnya dia merasa tidak tenteram bila ada orang yang meminta derma darinya. Bagi orang yang sudah terlatih dengan sifat dermawan, dia akan merasa nikmatnya bila melakukan derma, dia akan merasa lapang dan senang hati serta membuatkan dia tersenyum dengan nikmat yang di rasakannya.

Apabila pelaksanaan suatu kewajipan dan penghindaran diri dari segala perkara haram, hati merasa berat atau kurang selesa di dalam hati, maka hal itu adalah petanda suatu kekurangan, yang pasti akan merupakan penghalang timbulnya kebahagiaan yang sejati..

Nabi s.a.w bersabda,
“beribadahlah kepada Tuhanmu dengan perasaan redha(senang hati). Namun apabila kamu tidak mampu melakukannya, maka dalam kesabaran menghadapi apa yang kau tidak sukai, tersimpan kebaikkan yang sangat banyak.”
H.R At- Tabrani.

Dapat di fahami, kita perlulah beribadah dengan senang hati iaitu dengan redha supaya akan lahir keikhlasan dalam hati dan membolehkan ibadat kita diterima oleh Allah s.w.t. namun apabila kita merasa tidak suka, tidak selesa, tidak ada keikhlasan, maka kita perlulah bersabar dan terus melakukannya secara istiqomah, apabila diri kita telah dilatih melakukan suatu ibadat, ia akan menjadi suatu kebiasaan dan dapat melakukan dengan senang hati..
InsyaALLAH..

(Sumber :salamizhar.blogspot.com)
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ..MENCARI REDHA ALLAH.. |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net