Beramal dengan Istighfar Rasulullah saw..

Bismillah wal hamdulillah..

Ada seorang lelaki berkata kepda Hasan “Apakah seseorang tidak akan berasa malu terhadap Tuhannya?.... Bukankah dia melakukan perbuatan dosa lalu memohon keampunan kemudian mengulangi perbuatan dosa lalu memohon keampunan dan seterusnya?”…
Hasan menjawab “Syaitan sangat berharap dia berjaya menggoda kamu. Oleh itu jangan kamu meninggalkan istighfar selama2nya…”



ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada ALLAH atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh ALLAH..

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada ALLAH. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada ALLAH ala sambil memohon ampun dari segala dosa. ALLAH memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:
“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, ALLAH berfirman:
“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)

Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah ALLAH pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi saw..


Fadhilat Beristighfar :
Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan ALLAH bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfar.
ALLAH ada menerangkan mengenai dengan fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, ALLAH berfirman:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
(Surah Hud: 3)

..Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,. dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai..(nuh 10-12)

Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfar dan taubat ialah ALLAH akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
ALLAH juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada ALLAH dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran: 135-136)

Menurut Qatadah Rahimahullah:
“Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.

Berkata Sayyidina Ali kwj : “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

Rasulullah saw juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “ALLAH berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika enau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr RadhiALLAHu ‘anhu bahawa Rasulullah Saw bersabda:
Maksudnya: “Bersabda Nabi saw “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat ALLAH kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani RadhiALLAHu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada ALLAH setiap hari sebanyak seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas ra meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi saw: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya ALLAH akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah saw di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari ALLAH atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada ALLAH kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada ALLAH dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari ALLAH daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh ALLAH dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari ALLAH berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

InsyaALLAH..

2 comments:

Hanya Untuk Melati said...

Alhamdulillah..byk ilmu yg saya dpt dari snie...jazakallah...

Unknown said...

Assalamualaikum...memang terbaik untuk kehidupan yang mulia di dunia dan di akhirat...Jazakallahhuhoiran kathiro..

Post a Comment

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ..MENCARI REDHA ALLAH.. |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net