Si Kuda kepada Si Baik


Pada suatu hari di bandar Madinah, ketika Nabi Muhammad sedang mengajar ilmu agama islam kepada sahabat-sahabatnya di dalam masjid, tiba-tiba datang seorang pemuda menaiki kuda di luar masjid. Masih remaja dan muda,pemuda itu kelihatan seperti pengembara yang datang dari jauh. Pemuda itu turun dari kudanya menuju ke tempat mengambil wudhuk. Sejurus selepas mengambil wudhuk beliau masuk ke dalam masjid dan berjumpa Nabi Muhammad.

Pemuda itu menyapa Nabi Muhammad dengan penuh hormat sambil memberi salam, lalu beliau berkata, ''Saya adalah pengembara. Saya mengembara selama 9 hari untuk berjumpa Tuan.'' Dia berkata lagi, ''Dalam pengembaraan ini, saya menahan rasa mengantuk pada waktu malam dan menahan rasa dahaga pula pada waktu siang. Saya memecut kuda saya berlari laju supaya cepat sampai ke sini.'' Pemuda remaja itu bercerita bersungguh-sungguh tentang pengembaraannya.

''Semua yang saya lakukan itu adalah semata-mata kerana mahu berjumpa Tuan dan bertanya tentang dua masalah,'' ujar pemuda itu dengan menjelaskan niat pengembaraannya.

''Silakanlah! Beritahu masalah kamu kepada saya,'' kata Nabi Muhammad saw sambil mempelawa pemuda itu bertanya.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pemuda itu segera bertanya dua masalah yang terpendam dihatinya selama ini. ''Wahai pesuruh Tuhan, masalah saya yang pertama adalah bagaimana sifat-sifat manusia yang disayangi Tuhan? Masalah kedua, bagaimana pula sifat-sifat manusia yang dimurkai Tuhan yang Maha satu?'' tanya pemuda remaja itu dengan tidak sabar-sabar lagi menanti jawapan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berasa kagum dengan pemuda itu. Nabi Muhammad tersenyum sambil memandang wajahnya. Walaupun begitu, Nabi Muhammad tidak segera menjawab pertanyaan pemuda itu.

'' Wahai orang muda, siapakah nama kamu?'' tanya Nabi Muhammad.

''Kawan-kawan saya sering memanggil saya dengan gelaran Zaid Khail'', jawab pemuda itu memperkenalkan dirinya.

Zaid Khail bermaksud Zaid Si Kuda Jantan. Kemungkinan beliau suka membela kuda atau berlari sepantas kuda sehingga beliau digelar Si Kuda Jantan.

Apabila Nabi Muhammad mendengar namanya, beliau tersenyum lalu berkata, ''Bukan Zaid Khail tetapi nama kamu sekarang ialah Zaid Khair.'' Nabi Muhammad mengubah gelarannya kepada erti yang lebih baik. Gelarannya diubah daripada Zaid Khail yang bermakna Zaid Si Kuda Jantan kepada gelaran Zaid Khair iaitu Zaid Si Pembawa Kebaikan.

Walaupun gelarannya tadi sudah ditukar menjadi lebih baik ertinya, pemuda itu masih tidak puas hati kerana jawapan bagi dua masalahnya belum dijawab.

Wahai pesuruh Tuhan, saya mahu jawapan tentang dua masalah saya tadi. Pertama, bagaimana sifat-sifat manusia yang disayangi Tuhan dan kedua, bagaimanakah sifat-sifat manusia yang dimurkai Tuhan?'' Pemuda itu mengulangi pertanyaannya kepada Nabi Muhammad.

Sekali lagi Nabi Muhammad tidak segera menjawab pertanyaannya. Pemuda itu resah menanti jawapan. Beliau memandang wajah Nabi Muhammad dengan penuh harapan. Seolah-olah hatinya berbisik, ''Bilakah pertanyaanku ini akan dijawab?''……….

Nabi Muhammad mahu mengetahui lebih lanjut tentang diri pemuda itu. "Wahai orang muda, bagaimana perasaan kamu sewaktu bangun dari tidur?''

Wahai pesuruh Tuhan, setiap kali bangun dari tidur, saya berasa terlalu ringan bagi melakukan kebaikan. Saya juga berasa terlalu rindu bagi melakukan kebaikan. Saya juga berasa terlalu rindu untuk bertemu orang yang melakukan kebaikan. Apabila saya diberi peluang membuat kebaikan, saya tidak mengharapkan sesuatu melainkan kasih sayang Tuhan. Tetapi, apabila saya terlepas peluang membuat kebaikan dalam satu hari, saya berasa terlalu sedih,'' jawab pemuda itu berterus terang.

Nabi Muhammad tersenyum lagi mendengar jawapan pemuda itu. Lalu, Nabi Muhammad berkata, ''Wahai orang muda, begitulah sifat-sifat manusia yang disayangi oleh Tuhan. Manakala yang dimurkai Tuhan adalah orang yang tidak ada sifat-sifat yang kamu sebutkan tadi.''

Nabi Muhammad tidak perlu menghurai dan menjawab pertanyaan pemuda remaja itu. Sebenarnya pemuda itulah yang menjawab pertanyaannya sendiri. Selama 9 hari pengembaraan yang jauh dan mencabar bagi menjawab dua soalannya, akhirnya jawapan yang dinanti-nanti itu ada pada dirinya sendiri.

sumber : Ainol Kusyairi, Dimanakah Tuhan, 2009, PTS Publications & Distributors SDN. BHD.

0 comments:

Post a Comment

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ..MENCARI REDHA ALLAH.. |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net