BERI HATI ITU PADA ALLAH..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..

~Sama2 memupuk kekuatan dan ketenangan dengan cinta ALLAH~

Firman ALLAH SWT:
'... Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain ALLAH; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai ALLAH. Adapun orang-orang yang beriman sangat kuat kecintaannya kepada ALLAH.. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan ALLAH semuanya dan bahawa ALLAH amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).'
(Al Baqarah;165)

Untungnya mencintai ALLAH..
Menjadikan Tuhan sebagai cinta agung adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan hidup dunia dan Akhirat.Roh semulajadi manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin dicintai dan mencintai. Perasaan sayang manusia tiada terhad sesama insan semata tetapi meliputi semua makhluk sama ada yang bernyawa sayang pula diberi hanya sesama manusia, tidak kepada benda. Ini yang membezakan di antara 'sayang' dengan 'kasih sayang'. Manakala perasaan cinta pula walaupun tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta paling agung hanya layak diberikan untuk Tuhan.

Menyintai atau ingin dicintai oleh manusia bukanlah kemuncak cinta atau cinta agung, kerana cinta sesama manusia tidak kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Bahkan sering berlaku dalam sebahagian perjalanan usia kita lagi, iaitu sebelum kita mati, cinta itu telah pudar atau terungkai sama sekali. Cinta yang diagung-agungkan dan dipuja-puja itu hancur berkecai.

Di sini barulah kita sedar bahawa cinta kepada makhluk atau cinta daripada makhluk bukanlah cinta yang hakiki atau sejati. Itu hanya cinta sementara waktu. Kita sahaja yang menyangka cinta itu sejati dan sampai ke hujung. Rupa-rupanya dalam perjalanan umur, cinta kita kepada orang lain atau cinta orang lain kepada kita, dengan sendirinya dia ataupun kita sendiri yang mengungkainya semula atas sebab-sebab yang berrnacam-macam.

Oleh kerana itulah, mencintai makhluk selalu mengecewakan kita sekalipun bukan satu kesalahan. Jadi jangan meminta, menagih atau mengharapkan sangat untuk mencintai manusia atau dicintai oleh manusia walaupun is tidak salah..
Cinta itu tidak abadi..

Sebaliknya berilah dan terimalah cinta yang kekal abadi. Itulah cinta agung namanya. Iaitu cintakan Allah yang Maha Agung. Inilah cinta yang hakiki, yang sejati, yang kekal abadi dan membawa kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di Akhirat.

Cintakan Allah ini tiada tandingan dan bandingannya. Cinta ini jika berjaya diperolehi adalah cinta yang paling memuaskan dan menenangkan. Buahnya paling menghiburkan dan paling membahagiakan. Tetapi malangnya cinta yang hakiki dan agung ini jarang orang ambil perhatian. Jarang orang memburunya seperti cinta-cinta murahan yang lain. Mungkin daripada jutaan manusia, hanya seorang yang memburunya.

Kalau seseorang itu telah mencintai Allah, walaupun seluruh makhluk memusuhinya atau membencinya, namun dia tetap mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Sebaliknya cinta kepada makhluk tidak akan membawa manusia kepada kebahagiaan sejati dan kekal abadi, selagi cinta hakiki lagi agung daripada Allah itu tidak dimiliki. Sebab itulah orang yang beriman dengan Allah dan mentaatiNya sentiasa tenang walaupun di dalam kesusahan dan ujian.


Oleh yang demikian, kalau kita tidak dapat memiliki cinta daripada manusia, usahlah bersedih hati kerana cinta itu tidak abadi. Pun tidak hakiki dan sejati. Kalau begitu, cari dan burulah cinta yang agung, iaitu Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya.

Sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya, amat beruntunglah hidupnya di dunia dan Akhirat. Di antara keuntungan yang diperolehinya ialah:

1.Tiada kecewa

Seseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhlukNya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.

2.Tiada saingan

Tidak akan berlaku saingan, pertarungan, permusuhan atau peperangan dalam mencari cinta Tuhan. Sebaliknya dalam perebutan mencari cinta dunia sama ada cinta manusia, biasanya akan berakhir dengan permusuhan dan akan ada yang kecewa dan menderita.

3. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan

Mendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan dalarn usaha meraih cinta agung itu pun sudah merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat pula dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas RahmatNya. Maka di situ pula bertambah lagi ketenangan. Sesekali terasa diri lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran masih kusut.
Mereka yang gagal mendapat dunia yang dicintai dan diburunya itu pula sudah rarnai yang sakit jiwa dan berputus asa. Bahkan ada yang sanggup bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan yang tidak kekal itu.

4. Dapat kawan dan perpaduan

Bersama-sama mencari Tuhan membawa manusia berukhuwah dan berkawan. Walaupun manusia itu dari berlainan latar belakang, bangsa, pangkat, kedudukan malah jika pernah menjadi musuh sekalipun, namun di dalam perjuangan merebut cinta Tuhan, secara automatik setiap hati manusia itu akan terikat satu sama lain. Kerana masing-masing sedang dalam perlumbaan mencari cinta yang satu iaitu cinta yang hakiki. Sebaliknya pertarungan dalam merebut cinta dunia akan mengakibatkan ukhuwah dan persahabatan makin jauh dan terbarai. Akhirnya akan membawa kepada pecah belah dan permusuhan.

5. Menghilangkan mazmumah

Mencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan mazmumah. Mazmumah adalah sifatsifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan mazmumah di dalam jiwa.

Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.

6. Disenangi oleh orang

Mengejar cinta Tuhan orang akan suka dan rasa senang. Tiada siapa yang akan rasa tercabar atau tergugat dalan pertarungan merebut cinta Tuhan Orang yang berusaha merebukt cinta agung akan disenangi semua makhluk. Manusia senang dan sayang padanya dan para malikat juga turut mendoakannya Kerana makin ramai yang merebut mencintai Tuhan, semakin mendorong kepada tercetusnya keamanan, ketenangan dan kebahagiaan.
Sebaliknya di dalam sesuatu pertarungan atau perebutan lebih-lebih lagi perebutan cinta dunia, ramai yang tidak senang dan makin dibenci orang. Semakin sengit perebutan dunia, makin bertambahlah huru-hara dan porak-peranda hidup.

7. Tidak akan kesepian atau keseorangan

Memburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Malah di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita. Tuhan boleh menjaga dan mengawal kita kerana Dia tidak tidur.

Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.

8. Jalannya luas dan selamat.

Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudharatkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.

Memburu cinta selain Tuhan dua kali malang- Masa berjalan begitu laju. Tidak pernah berhenti walau sedetik. Ertinya begitu laju umur kita meningkat, setiap detik umur kita meninggalkan kita. Setiap detik umur kita berkurang. Tetapi hakikat ini jarang kita rasai. Setiap detik, kita makin jauh meninggalkan dunia dan setiap detik jugalah kita makin dekat menghampiri Akhirat. Kalaulah kita cintakan dunia, maka apa yang kita cintai itu makin hail makin jauh terpisah dari kita. Sedangkan Tuhan yang tidak pernah kita cinta makin dekat dengan kita. Alangkah malang dan terseksanya jiwa terpaksa meninggalkan apa yang kita suka dan cinta. Bertambah malang dan terseksa lagi apabila kita akan berhadapan dengan Tuhan yang tidak pernah kita cinta sepanjang hayat kita. Ertinya kita pergi ke Akhirat, mengadap Tuhan tanpa membawa apa-apa. Yang kita cinta hendak ditinggalkan, manakala yang tidak kita cinta, akan berhadapan dengan kita. Maka kita akan berhadapan dengan dua kali penderitaan, iaitu meninggalkan yang kita cinta, hendak bertemu Tuhan.
Roda umur kita makin laju ke hadapan. Dunia yang kita cinta makin jauh kita tinggalkan sedangkan Tuhan yang sepatutnya kita cinta masih jauh dari kita. Aduh, malang sekali nasib kita di sana, negara yang kekal abadi. Kenapa Tuhan perlu dijadikan cinta agung? Setiap makhluk perlu menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya kerana terialu banyak nikmat dan kasih sayang yang Allah limpahkan kepada makhlukNya.

Kasih sayang Allah pada makhlukNya boleh dilihat dari dua sudut. Pertama dari sudut ilmu dan kedua dari sudut realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian.

i. Dari sudut ilmu
Banyak ayat Quran dan Hadis yang memperlihatkan kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Di atas kasih sayang Tuhan itu, wajarlah seorang hamba itu meletakkan cinta agungnya hanya kepada-Nya.

ii. Di sudut realitinya
Dalam realiti kehidupan manusia, kita wajib meletakkan cinta agung kepada Tuhan yang Maha Agung supaya dengan itu kita akan mendapat ketenangan yang agung di dunia dan Akhirat. Ini kerana:

a) Allah itulah Tuhan yang mencipta dan menghidupkan kita serta menjadikan seluruh isi dunia ini untuk kita gunakan, cuma jangan sampai menyalahgunakannya.

b) Dia jugalah Tuhan yang menjadikan Akhirat sebagai tempat tinggal kita yang abadi selepas mati. Dan jika kita beriman dengan-Nya, menyembah dan mentaati-Nya serta berbuat balk seperti yang Dia kehendaki; bukan seperti yang kita kehendaki, maka kita akan ditempatkan di dalam Syurga yang nikmatnya tidak dapat kita bayangkan di dunia ini. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, maka azab NerakaNya pula yang akan ditimpakan kepada kita yang mana tidak dapat digambarkan penderitaannya. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari azab yang dahsyat dan pedih ini.

c) Allah jualah yang menciptakan suami untuk berhibur, isteri untuk bersenang-senang dan anak-anak sebagai cahaya mata penyejuk hati. Kalau begitu mengapa kita tidak mencintai Allah, Tuhan yang mengurniakan kita suami, isteri dan anak-anak itu?

d) Sewaktu kita diuji oleh kesakitan maka Allahlah yang menyembuhkan. Diberi kelegaan daripada kesakitan yang kita alami. Dikurniakan ketenangan dan kesabaran ketika berhadapar dengan kesakitan dan kesusahan. Disembuhkan selepas sakit bukankah merupakan satu nikmat Tuhan yang wajib disyukuri?

e) Allah jualah yang memberi rezeki yang tidak terhingga banyaknya yang mana dengan itulah kita dapat makan, minum, berpakaian dan lain-lain. Maka dengan itu selamatlah kita dari lapar, dahaga, telanjang dan sebagainya.

f) Kalau ada masalah atau ujian hidup, kepada Allahlah kita minta penyelesaian. Setiap hamba merasakan dia mempunyai tempat untuk mengadu dan berharap. Ada satu zat yang Maha Agung yang mana setiap hamba boleh menyandarkan segala harapan pada-Nya. Harapan itu pun sudah cukup melegakan. Itu pun sudah memadai untuk menjadikan kita manusia yang tidak berputus asa dan kecewa, harapan ini akan mengurangkan tekanan jiwa.

g) Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk. Lebih mulia dan sempurna dari haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Malah manusia yang bertaqwa lebih mulia dari para malaikat. Manusia dikurniakan akal fikiran yang mana dengannya manusia dapat ilmu dan mampu menguasai makhluk lain walau sebesar dan sekuat mana pun makhluk itu.

h) Allah jugalah yang menggilirkan malam dan slang agar manusia dapat berehat dan bekerja sesuai dengan fitrah semulajadi manusia.

Cukuplah sekadar itu senarai nikmat-nikmat yang besar yang kita terima dari ALLAH.. Sebenarnya banyak lagi nikmat ALLAH pada kita yang kita tidak mampu kita hitung, seperti firman ALLAH:"Jika kamu ingin menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya.."

Berdasarkan hujah-hujah di atas maka sewajarnyalah kita mencintai ALLAH iaitu dengan cara beriman dan menyembahNya sepertimana yang Dia mahu, bukan sepertimana yang kita mahu. Seterusnya mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.

Oleh kerana begitu besar dan agungnya ALLAH dalam hidup kita maka dalam kita berbuat apa sahaja, biarlah bersama2 ALLAH... Sertakan ALLAH dalam kehidupan, bawalah rasa bertuhan ke mana-mana. Jadikan ALLAH segala-galanya dalam hidup, modal hidup mati kita, aset yang kekal abadi. Mencari ALLAH akan memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita.. Meninggalkan ALLAH, kita akan kecundang. ALLAH adalah harta yang sangat diperlukan. Selain ALLAH adalah harta yang tidak memberi jaminan... Jika kita memiliki ALLAH hakikatnya kita memiliki segalagalanya manakala kehilangan ALLAH pula adalah kehilangan segala-galanya.......
(Sumber daripada blog Uztaz Zawawi )
~Salam mahabbatillah~
=)

MUNAJAT

~MUNAJAT~

(Qunut Nazilah)

Sekadar renungan..
..memetik kata2 seorang ulamak; …rahmat ALLAH semakin jauh dengan ummat akhir zaman disebabkankan semakin kurangnya orang yang bangun malam meratap dan menangis pada ALLAH..

Syukurlillah..Atas isu yang berada di Negara kita sekarang, isu penindasan terhadap agama Islam terutamanya ,(klik) termasuk gelombang politik dan kepimpinan ,ramai dalam kalangan kita yang bangkit, melaung dan menegakkan kebenaran. Membantah kemungkaran yang ada. Matlamat utama untuk TEGAKKAN ISLAM YANG SEBENAR tidak pernah pudar dan luntur dalam jiwa pencinta kebenaran dan keadilan.
Pelbagai cara dan medium digunakan sebagai menzahirkan bantahan kita terhadap apa yang salah.. Semua ini menunjukkan bahwa tidak semua orang islam itu terlena.

Namun ..
Sejauh mana kita yang melaungkan dan menuntut kebenaran,menyungkur sujud di hadapan ALLAH SWT, TUHAN YANG MAHA MEMELIHARA, merintih agar pihak yang terlibat diberi hidayah oleh ALLAH SWT. Sejauh mana kita memohon, memanjatkan doa untuk umat Islam agar dipelihara dan diberi petunjuk yang terbaik dalam menghadapi tribulasi yang ada?..juga sejauh mana kita menadah tangan memohon pada ALLAH SWT agar PEMIMPIN yang ada diberi hidayah oleh ALLAH dengan sebaik2 hidayah untuk memimpin dan membawa Islam dengan cara yang terbaik yang digariskan oleh AL QURAN dan As Sunnah?..

Hadith Rasulullah saw dalam bab amar ma’ruf nahi mungkar juga ada menyebut;.. Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.(HR :Bukhari )

Di samping usaha yang ada,usaha dalam erti 'seorang hamba' ALLAH itu juga sangat penting.. Sama2 kita perbanyakkan solat hajat,berdoa memohon pada ALLAH ,agar ALLAH memelihara umat Islam, memelihara Negara kita dari kemungkaran dan kemaksiatan yang ada. Segalanya dalam pemerhatian ALLAH..dan InsyaALLAH doa orang2 yang ikhlas dan doa orang yang dizalimi adalah doa yang dekat dan dimakbulkan ALLAH. Hanya ALLAH yang dapat menolong kita..

QUNUT NAZILAH

(Dipetik dari blog sahabat;temanpetunjuk.blogspot.com)

Qunut nazilah adalah suatu hal yang disyariatkan dan amat disunnahkan ketika terjadi musibah dan kezaliman. Sunnah qunut nazilah ini merupakan pendapat para ulama dari madzhab Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi'iyyah, Hanbaliyyah dan lain-lainnya.

Imam Syafi'i rahimahullah berkata: "Apabila turun musibah kepada kaum muslimin disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh shalat wajib."
(Syarhus Sunnah karya Al-Baghawi 2/279).

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata: "Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang dibelakangnya." (Al-Mughni 1/450).

Pendapat-pendapat diatas tentunya berlandaskan hadis-hadis yang sahih mutawatir seperti hadits Anas bin Malik radhiallahu 'anhu riwayat Bukhari-Muslim yang menjelaskan pelaksanaan qunut nazilah oleh Rasulullahu saw selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 shahabat penghafal Al-Quran, juga hadis Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu riwayat Bukhari-Muslim.

p/s:

Sabda Nabi s.a.w :
“Dengar dan Taat itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat”
[Muttafaq 'alaih].
1.Munajat khusus untuk keselamatan umat Islam di Malaysia,agar dipelihara dari kemaksiatan dan kemungkaran yang ada.
2.Munajat khusus untuk pilihan raya Dun Galas yang akan tiba 4 Nov ini.

InsyaALLAH..

Muslimat..Kekalkan Sifat Malumu..


Sabda Rasulullah saw; ‘..jika kamu tidak berasa malu, buatlah apa yang kamu suka!’

Assalamu’alaikum wbt..
Didoakan moga sahabat semua dalam lindungan dan rahmat ALLAH SWT..

InsyaALLAH..Bicara tentang sifat malu. Diambil daripada hadith2 Rasulullah saw yang berkaitan. Sama2 kita semaikannya dalam diri kita..

Sabda Rasulullah saw‘..jika kamu tidak berasa malu, buatlah apa yang kamu suka!’
(maksud hadith)

Jarang kita temui hadith Rasulullah saw yang berbau sinis..Namun melihat hadith ini, kita mengetahui betapa tegasnya Rasulullah saw dalam menuturkan kata2 ini. Ketegasan dalam menegaskan perkara yang sangat penting yang harus ada pada ummatnya.

Sabda Rasulullah saw lagi;
Sesungguhnya ALLAH SWT itu, apabila hendak membinasakan seseorang, DIA akan mencabut rasa malu dari dalam dirinya. Apabila rasa malu dicabut, kamu tidak akan menjumpainya melainkan dalam keadaan dibenci (ALLAH dan manusia)….’ (HR Ibnu Majah)

SIFAT MALU
Malu boleh didefinisikan sebagai sifat atau perasaan yang menimbulkan keengganan melakukan sesuatu perkara yang tercemar atau kurang sopan.

SIFAT MALU DI SISI ALLAH..

Malu itu akhlak Islam
Sabda Rasulullah saw; ‘….sesungguhnya semua agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam itu adalah sifat malu..’(HR Imam Malik)

Kaitan Malu dengan Iman
Sabda Rasulullah saw; ..malu itu sebahagian daripada Iman..(Muttafaqun ‘alaih)

Orang yang memiliki sifat malu akan dapat mencegahnya dari terjatuh dalam dosa dan mungkar. Perasaan malu pada ALLAH SWT yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala cetusan hatinya samada sembunyi atau terangan akan menyebabkan ia sentiasa dalam keadaan berjaga2. Risau seandainya salah gerak lakunya dan cetusan hatinya, membawa kepada kemurkaan ALLAH..

Sabda Rasulullah saw;
..sifat malu dan iman itu berpadu antara satu sama lain(menjadi satu). Apabila lenyap-hilang salah satunya, maka hilanglah yang lainnya..(HR Hakim dan Tabrani)
Orang yang malu akan terjaga imannya dan orang beriman akan menjaga rasa malunya.

Perkara paling baik pada diri seseorang.
Teringat dialog antara anak Luqmanul Hakim dan bapanya;
..ayahanda, apakah perkara paling baik yang perlu ada pada diri manusia?..beliau menjawab; AGAMA. Ditanya lagi; ‘..yang kedua?..AGAMA dan Harta. Ditanya lagi; ‘..yang ketiga?..Itulah sifat MALU.

Penghias kehidupan
Sifat malu yang positif sekiranya dibawa dalam apa jua aktiviti kehidupan, ia akan mencetuskan keindahan,kecantikan dan kedamaian. InsyaALLAH akan terhiaslah bumi ALLAH ini dengan keberkatan dan keredhaan.

Sabda Rasulullah saw..;
Kekejian(kejahatan) mulut itu tidak mengenai sesuatu perkara melainkan menambah lagi kejelikannya dan sifat malu itu tidak akan mengenai sesuatu perkara melainkan akan menghiasinya..(HR Tirmizi)

Sumber Kebaikan
Sabda Rasulullah saw;
'..sifat malu itu, seluruhnya membawa kebaikan..'(HR Muslim)

Umpama lelaki yang soleh
Cantik perumpamaan Rasulullah saw..salah satu cara Rasulullah saw dalam mengajar dan mendidik sahabt2 adalah melalui perumpamaan. Tiada lain untuk memudahkan kefahaman dan menambahkan lagi kecintaan kita pada agama..

Sabda Rasulullah saw;..jikalau sifat malu itu diumpamakan sebagai seorang lelaki, maka ia adalah umpama seorang lelaki yang soleh..Dan, andaikata sifat keji itu diumpamakan sebagai seorang lelaki, maka ia umpama seorang lelaki yang jahat.(HR At Tabrani)

SEDIKIT PESANAN..
(Untuk diri sendiri,adik, dan sahabat2 saudara seakidah..=)

1. Pelihara aurat.. Tiada lain,untuk keselamatan dunia dan akhirat kita. Cantik dah 'guideline' ALLAH dalam Al Quran.. Tiada yang lebih baik melainkan kata2 ALLAH Yang Maha Penyayang dan Maha Melindungi.. Adakah kita ingin menafikan kata2 ALLAH?..Ana yakin, sahabat2 tidak menolak jika dikatakan antara faktor gejala sosial yang ada adalah berpunca dari kita.. bagaimana pemakaian kita?..ramai yang merasakan bahawa telah menutup aurat dengan baik, namun hakikatnya tidak. Menutup aurat itu bukan hanya bertudung..Ana yakini hampir semua antara kita mengetahui tatacara menutup aurat yang sempurna yang diajar Islam. Juga mengetahui bahawa bila2 masa juga kita akan kembali pada ALLAH.. Sm2 tanya pada hati;.. adakah kita bersedia mengadap ALLAH dengan membawa alasan2 yang kita bawa sekarang? ..

2. Jaga2 dengan penggunaan facebook
.. Salah satu tipudaya syitan adalah merasakan indah pada perbuatan salah yang kita lakukan. Penggunaan gambar yang jelas dan berlebihan boleh membawa fitnah pada agama kita..Sama2 kita pegang, Muslimat yang baik itu melindungi dirinya dari dipandang dan memandang..’ Sabda Rasulullah saw juga;..Wanita itu aurat..Bila ia keluar, maka syaitan akan mengikutnya..(Post gambar2 dalam facebook juga sama dalam istilah keluar=) Jagailah dirimu dari dipertontonkan di khalayak..


3. Gurauan dan tutur kata yang berlebihan juga adalah salah dalam Islam. Apatah lagi dalam ruangan yang terbuka… Dalam syarak, perhubungan muslimat dengan muslimin yang bukan muhrim adalah haram tanpa ada keperluan yang mustahak. Melunakkan suara apabila bercakap dengan muslimin bukan mahram itu juga salah.. Apatah lagi duduk berdua-duaan.(Walaupun di tempat awam)

..Syariat islam itu bukan untuk memundurkan kita. Salah jika kita rasa demikian. Islam dinamakan ISLAM oleh ALLAH SWT sebagai makna selamat. InsyaALLAH kita akan selamat jika kita mengikut islam secara keseluruhannya.MUSLIM KAFFAH..

Akhir..
‘..biarlah nama dan diri kita tidak dikenali oleh penduduk di bumi, namun disebut2 dan dikenali oleh sekalian penduduk di langit..’
insyaALLAH~

~SEMUA TENTANG KITA~
=)

GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM

InsyaALLAH..
Manfaatkan bersama.
(rujukan daripada portal JAKIM)

GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM

1. TUJUAN
Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.

2. PENDAHULUAN
Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)


Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.
Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a)
Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

GARIS PANDUAN
Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan
i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik
i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.
ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik
i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis
i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
ii. Menutup aurat-berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian
i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah. iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur
Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.


5. Kesimpulan
Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.


INDEKS
[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)
[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat . (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

KITA DAN HIDONISME

Assalamu’alaikum wbt..
Ana mulakan penulisan ini dengan doa..

"Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".(Al Imran 147)

Tanda akhir zaman ; salah satunya umat islam akan mengikuti langkah2 Yahudi dan Nasrani

Sabda Rasulullah saw;
Daripada Abu Sa’id Al Khudri ra; ‘kamu akan mengikuti jejak langkah umat2 sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya; Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kamu maksudkan?Rasulullah saw menjawab; siapa lagi kalau bukan mereka.'(HR MUSLIM)

Sekian lama ana ingin menulis tentang isu ini, namun seringkali ianya bertangguh dan menyebabkan lupa.. Sehinggalah hari ini, atas isu yang ada dalam negara kita, di samping melihat betapa suburnya kemungkaran yang ada , ditambah dengan budaya ‘TAK MENGAPA’, dan ‘SUDAH BIASA’; ringan rasanya untuk ana coretkan sesuatu di sini. Penulisan ini lebih kepada konsep dan lebih juruskan pada kebiasaan yang salah..

BICARA TENTANG HEDONISME; BUDAYA SUKA BERHIBUR
KHUSUS UNTUK KITA ORANG ISLAM

Budaya suka berhibur bukan lagi suatu yang janggal pada kita. Islam juga tidak pernah melarang kita dari berhibur. Namun sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan.. Syariat dan syarak telah menggariskan dengan jelas kepada kita jalan2 yang harus kita ikuti dalam berhibur. Tiada lain, kerana islam itu agama yang selamat dan untuk memastikan umatnya sentiasa selamat, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat.

Al-Quran ada mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman ALLAH SWT:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”. (Surah Luqman: 6)


MERASAKAN APA YANG SALAH ITU INDAH (Baca; Tidak mengapa) ADALAH TANDA LEMAHNYA IMAN SERTA MASUKNYA TIPUDAYA SYAITAN PADA HATI.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat nanti. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejekan”.(Surah Al-Kahfi: 103-105)

Terasa bagai dicarik2 hati ini setiap kali melihat paparan iklan dan cerita dalam TV mahupun di akhbar. Percampuran antara lelaki dan perempuan dilihat begitu bebas,seolah2 tiada salahnya. (Periksa imanmu saudaraku, tatkala melihat semua ini). Eksploitasi wanita? sudah terlalu biasa. Iklan mana yang tiada gambar wanita?..pelik juga kadang2, iklan biskut, coklat dan bateri, namun yang diperaga lebih kepada wanita. Lebih nampak wanita berbanding biskut dan bateri. Cerita yang berbentuk pengajaran, membawa imej islam,namun menampilkan lelaki dan perempuan yang melakonkan watak suami dan isteri, sedangkan nyatanya masing2 mempunyai taklifan suami dan isteri orang di luar. Nyanyian, karaoke, tari-menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang bercampur dan segainya. Semuanya ini tanpa sedar akan mendatangkan gejala ‘TIDAK MENGAPA’ yang seterusnya menghakis kemurnian nilai dan adab Islam itu sendiri. Kepekaan kita terhadap kemungkaran juga akan semakin nipis disebabkann terlalu biasa dan kerana sebab2 sebeginilah suasana hari ini terbentuk. Jangan disalahkan penyakit yang datang sedangkan virusnya diraikan.. Jangan disalahkan masalah pembuangan anak dan masalah sosial yang berlaku.

Hiburan yang dilarang oleh agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan, apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama “amal” (banyak berlaku sekarang ini) tidak akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan syarak. Nyatanya konsert nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus kepada tidak diredhai oleh Allah. Tujuan' amal' adalah hanya kata-kata berselindung, seperti berselindungnya racun di sebalik makanan yang enak., akhirnya akan membunuh orang yang memakannya. Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Quran yang tafsirnya:

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya?) Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. (Surah Faatir: 8)

~islamic fashion festival~


PERLU KITA TAHU


~islamic fashion festival~
http://www.islamicfashionfestival.com.my


Sesuatu perkara yang di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat tidak dibolehkan dan sesuatu yang haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan yang maksudnya:

"Sesungguhnya yang halal itu telah jelas dan yang haram itu telah jelas. Sedangkan di antaranya ada masalah yang samar-samar (syubhat) yang kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menghindari samar-samar, maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang jatuh ke dalam yang samar-samar maka ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Seperti penggembala yang berada dekat pagar (milik orang lain), khuwatir ia akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki pagar(aturan). Ketahuilah bahwa pagar ALLAH adalah larangannya. Ketahuilah bahwa di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya. Dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati.
Hadis riwayat Syaikhan dari Abu Abdillah Nu’man b. Basyir

KEMULIAAN MANUSIA BERBANDING MAKHLUK LAIN ADALAH PADA AKALNYA DAN KEMULIAAN MANUSIA ATAS MANUSIA YANG LAIN ADALAH PADA IMAN DAN TAQWANYA PADA ALLAH

Dalam membicarakan tentang hiburan, terdapat 3 kelompok utama yang terlibat:


1- Pihak penganjur;termasuk orang yang berkuasa
2- Orang yang menghibur
3- Orang yang datang berhibur

Kesemua kelompok ini mempunyai peranan dan amanah sendiri yang mana jika salah dalam membawa peranan dan amanah tersebut boleh menyumbangkan ke arah yang tidak baik dan boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT. Yakinlahi bahawa setiap amal perbuatan kita baik yang kita lakukan secara sembunyi atau terang, kecil atau besar akan dipertanggungjawab dan dipersaksikan di akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT dan Hadith Rasulullah saw;

Bagi penganjur:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”. (Surah Luqman: 6)

Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar, dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yg sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari perhitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu. (Saad :26)

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.(HR :Bukhari )

Orang yang menghibur

Dalam hadith ada disebutkan;
“Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu, Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab: “Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis minuman arak”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

“Simpankanlah lidahmu kecuali terhadap yang baik-baik, karena dengan demikian kamu dapat mengalahkan syaitan”. [Dari Sa’iid Al-Khudry]

Orang yang datang berhibur

Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan ahli hiburan yang haram (seperti majlis tari-menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan majlis itu adalah suatu DOSA BESAR.

Menurut Imam Al-Qurtubi pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh menyebabkan sifat bodoh dan tertolak persaksiannya (syahadah), dan yang lebih ditakuti lagi ialah menyebabkan nifaq, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang maksudnya:
“Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifaq (munafiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayuran”. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Wallahu’alam..

Segala yang baik itu daripada ALLAH dan yang kurang itu disandarkan atas kelemahan diri ana sendiri..InsyaALLAH entri ini akan bersambung dengan garis panduan hiburan dalam Islam. Bagaimana hiburan yang dibenarkan dalam syarak.

Sama2 kita pelihara diri kita, keluarga kita dan juga orang sekeliling kita daripada terlibat dengan perkara2 ini.


Firman ALLAH SWT;
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan (At Tahrim; 66)

Teringat juga rencana yang ditulis oleh Habib Umar Al Hafiz; ..waspadalah kalian dengan pasukan2 Dajjal yang ada di dalam rumah kalian..’. Pasukan dajjal yang dimaksudkan adalah rancangan TV yang melalaikan, bahan2 bacaan yang tidak bermanfaat, internet yang salah digunakan dan sebagainya.. Benar hidayah itu milik ALLAH,namun tanggungjawab kita adalah menyampaikan.

P/S; Sahabat2 yang ada hadith yang berkaitan dengan isu ini,dialukan untuk hantar pada ruangan komen ya..Syukran..
Align Center

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ..MENCARI REDHA ALLAH.. |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net